Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Masalah Syria hangat dibahaskan oleh Persidangan Liga Arab di Baghdad hari ini. Meskipun kebanyakan pemimpin Arab berusaha mewujudkan keamanan, kekacauan masih berterusan di Syria akibat kedegilan paksi Barat-Arab yang masih membekalkan senjata kepada pengganas.

Berikut adalah beberapa berita terkini dari Syria:

Lima jurutera yang diculik pengganas sudah dibebaskan

Menurut laporan agensi berita Press TV, lima jurutera Iran yang diculik pengganas sudah dibebaskan dan sedang dibawa ke Turki.

Mereka ini diculik pengganas sejak tiga bulan lalu di kota Homs.

Pembunuhan Kolonel Syria

Surat khabar Al-Thawrah melaporkan seorang Kolonel Syria dibunuh oleh sekumpulan 4 lelaki bersenjata di wilayah Jobar, Damsyiq.

Agensi Berita Syria (SANA) hari ini juga melaporkan dua lagi kolonel Syria dibunuh di kota Halab, Utara negara ini.

SANA turut melaporkan empat orang askar dan seorang polis diculik pengganas di Idlib telah berjaya diselamatkan oleh askar Syria dalam satu operasi serbuan ke atas sarang pengganas.

Kumpulan pemberontak yang berjaya dikalahkan dalam beberapa siri pertempuran telah menukar corak keganasan dengan mewujudkan situasi tidak aman seperti pengeboman dan pembunuhan.

Washington komited tekan Bashar Asad

Meskipun Syria mengistiharkan kesediaannya untuk bekerjasama dalam pelan damai Liga Arab, Menteri Luar Amerika meluahkan rasa tidak puas hati dan masih berhasrat ingin mengambil tindakan terhadap Syria.

Jurucakap Kementerian Luar Amerika, Victoria Nuland dalam satu sidang media kelmarin menuduh presiden Bashar Asad enggan bekerjasama dengan Liga Arab dan tidak memperdulikan nasihat pelan damai daripada bekas setiausaha agung PBB, Kofi Annan.

Nuland turut menyatakan kebimbangan Amerika tentang keganasan di Syria sambil berjanji, negaranya akan bertindak menekan Syria.

12 perwakilan Kurdis keluar dari pakatan anti-Syria

Menurut laporan agensi berita Khabar Yek, persidangan dua hari pemberontak Syria di Istanbul atas nama "Rakan Syria" dikejutkan dengan 12 perwakilan bangsa Kurdis keluar dari dewan perhimpunan. Laporan media Turki tersebut menyatakan perselisihan tersebut tercetus akibat wakil-wakil yang hadir enggan mengiktiraf secara rasmi hak-hak asasi mereka di Syria.

Bashar Asad tampil di Baba Umar

Presiden Bashar Asad pagi kelmarin muncul di kawasan Baba Umar, Homs untuk melihat sendiri kawasan kekalahan pihak pemberontak. Beliau sempat melawat dan berdialog dengan penduduk tempatan yang kembali ke rumah masing-masing setelah kawasan tersebut mulai aman.

Presiden Syria ini berjanji akan segera membangunkan semula prasarana yang musnah teruk akibat perbuatan khianat pemberontak. Beliau menekankan bahawa pihak kerajaan tidak akan berhenti dari melaksanakan tanggung jawabnya walaupun operasi mengusir pemberontak telah mencapai kejayaan.